DAKWAH, TARBIAH DAN JIHAD MOMENTUM SYABAB MUSLIM

By ajan9_bdw
Pemuda Islam tunggak keutuhan ummah. Di atas bahu mereka terpikulnya tanggungjawab
menyampaikan risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Memperjuangkan kalimah suci,
seterusnya menjadikan dustur Ilahi sebagai dasar dan landasan hidup yang memayungi kehidupan manusia dan seluruh makhluk sejagat yang hidup di maya pada ini.

Dakwah tarbiyyah dan jihad momentum syabab Islam membawa pengertian, tiga elemen tersebut merupakan pengerak utama bagi syabab Islam untuk terus berperanan sebagai agen perubah dan pencorak masyarakat, menyambung risalah suci yang pernah dibawa oleh junjungan besar kita nabi Muhammad saw. Menjadi harapan untuk melerai segala kekalutan dan kemelut yang melanda ummah dewasa ini. Membebaskan manusia daripada menyembah sesama makhluk dan mejadikan mereka mengabdikan diri semata-mata kepada Allah, seterusnya menjunjung kalimah suci dan meletakkannya di tempat yang selayaknya.

Kenapakah Islam terlalu menitik beratkan syabab muslim jika hendak dibandingkan dengan generasi yang lain Dr. Fathi Yakan menyebut dalam risalah beliau yang bertajuk As Syabab Wa Taghyir Ketika mana Islam menitik beratkan usia muda untuk merealisasikan cita-cita Deen Al Islami iaitu melakukan perubahan menurut landasan dan garisan yang telah ditetapkan oleh Islam, bukanlah semata mata kerana generasi ini memiliki keistimewaan dan sifat-sifat yang tersendiri yang melayakkan mereka memikul amanah ini bahkan ada sebab-sebab yang lebih jauh daripada itu.

Iaitu untuk menjelmakan dalam diri pemuda Islam sifat pengabungan diri mereka dengan Islam dan iltizam dengan segala dasar dan asas-asas agama atau dalam ertikata lain untuk melahirkan generasi muslim yang sejati dan tulen..

Usia muda merupakan aset terpenting yang tiada galang gantinya. Nabi Muhammad SAW menggesa syabab agar mengisi masa muda dengan perkara yang bermanfaat dan memberi sumbangan untuk ketinggian Deen Islam. Ini bertepatan dengan apa yang telah dirakamkan di dalam sabda baginda yang bermaksud Kejarlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, usia mudamu sebelum datangnya hari tua, waktu sihat sebelum datangnya sakit, kaya sebelum datangnya kemiskinan, hayatmu sebelum datangnya ajal, dan waktu lapangmu sebelum datangnya kesempitan.

Islam menitikberatkan generasi muda bukan bermakna mengabaikan generasi yang lain, golongan tua dan mereka yang telah hilang keupayaan diri sepertimana yang berlaku di dalam negara yang diperintah oleh komunis. Rakyat jelata menggesa pihak pemerintah menghapuskan semua generasi tua selepas berlakunya revolusi agar mereka ini tidak membebankan negara.

Di dalam Islam setiap generasi dan lapisan memiliki peranan yang tersendiri. Kita memfokuskan kepada pemuda bersesuaian dengan kemampuan mereka untuk memikul tugas yang mencabar dan memerlukan tenaga dan semangat juang yang tinggi. Di dalam lipatan hidup dan pusingan roda usia manusia ada peranan dan kewajiban tertentu yang mesti ditunaikan bersesuaian dengan keupayaan dan usia mereka. Muda adalah merupakan marhalah usia yang memiliki darah yang masih panas dan paling sesuai untuk melaksanakan impian dan cita cita murni Islam.

Usia muda digunakan untuk melakukan pengorbanan dan memberi sumbangan yang bermakna untuk Islam. Lantaran itu pemuda menurut neraca dan mizan Islam mempunyai tanggung jawab dan nilai serta harga yang khusus jika dibanding dengan generasi yang lain.

Apakah rahsia dan matlamat yang tersirat menjadi dorongan yang kuat untuk kita menyediakan pemuda dengan segala persiapan ini. Adakah semata mata kita hendak memelihara pemuda daripada terdedah kepada ajakan hawa nafsu serakah yang tidak pernah mengenal batasan atau sekadar mempersiapkan diri mereka dengan thaqafah yang mendalam agar mereka ini mampu untuk berkhutbah dan menyampaikan ilmu. Atau sekadar membolehkan mereka melakukan amal kebajikan, memberi sumbangan kepada golongan yang miskin dan sebagainya.

Pada hakikatnya, kita tidak menjelaskan atau menentukan mana-mana di antara matlamat yang tersebut tadi menjadi asas yang mendorong kita mempersiapkan diri pemuda Islam .
Menurut D. Fathi Yakan apa yang perlu kita sedari ialah ummat Islam dewasa ini masih bernaung di bawah lembayung pemerintah thaghut dan Islam masih belum berperanan sebagai pemimpin dan menjadi pedoman dalam kehidupan manusia dalam ertikata yang sebenarnya. Islam juga masih lagi belum bertakhta di atas singgahsananya. Lantaran itu matlamat kita yang paling murni menyediakan syabab muslim ialah untuk menjadikan mereka tentera Allah, berkhidmat untuk Islam, merealisasikan dasar dan perundangan Islam di dalam masyarakat dan seluruh alam jagat, mengatur kehidupan dan melaksanakan cita cita murni Islam.

Untuk mencapai semua matlamat ini, kesedaran perlu dipupuk ke dalam jiwa pemuda pemuda Islam dan menggerakkan mereka untuk menjalankan kerja-kerja dakwah serta meningkatkan semangat juang. Mereka perlu menyedari ganjaran dan janji Allah bagi sesiapa yang menyeru kepada Allah dan merekalah orang yang berhak mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah serta mendapat kejayaan di dunia mahupun di akhirat.

Allah telah berfirman yang bermaksud
"Siapakah yang terlebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada kebaikan dan mengatakan sesungguhnya dari kalangan orang Islam".

Dakwah ibarat obor suci yang menerangi kehidupan insan. Tanpanya manusia akan terus kekal di dalam kegelapan dan teraba raba mencari cahaya untuk menerangi kehidupan mereka yang masih bergelumang dengan kejahilan. Hidup di dalam keadaan tidak mengenal tuhan dan terus ditimpa bencana dan kemurkaan Allah. Realiti umat hari ini masih dihimpit kejahilan yang menghala kepada keruntuhan yang amat menggerunkan. Gejala ini menghambat mereka di setiap penjuru kehidupan. Allah menggesa kepada seluruh ummat ini agar menyampaikan risalah suci ini di dalam firmannya yang memberi maksud Adalah kamu sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia supaya kamu menyuruh dengan makruf dan melarang dari yang mungkar.

Tidakkah kita menyedari bahawa kerja-kerja dakwah yang pada peringkat awal perkembangannya berpusat di rumah Al Arqam b Abi Al Arqam yang dipelopori oleh golongan muda. Rasulullah ketika itu berusia 40 tahun manakala Saidina Abu Bakar lebih muda daripadanya 3 tahun dan Saidina Umar 27 tahun, Saidina Uthman lebih muda daripada Rasulullah dan yang terakhir Saidina Ali merupakan yang termuda dari kalangan mereka. Demikian jugalah para sahabat yang lain seperti Abdullah bin Masud, Abdur Rahman b. Auf, Arqam b. Abi Al Arqam, Said b. Zaid, Mus’ab b. Umair, Bilal b. Rabah, Amar b. Yasir dan ratusan lagi yang kesemuanya adalah terdiri dari golongan muda.

Mereka inilah merupakan tentera-tentera yang memikul tugas dakwah, menanggung segala keperitan dan azab menjalankan tugas tersebut dengan penuh kesabaran dan segala pengorbanan sehingga menjulang kemenangan Islam.

Seterusnya menjadi teguh dan utuh memayungi kehidupan seluruh makhluk Allah di bawah naungan Islam.Tunduknya kerajaan Rum dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar yang tidak asing lagi suatu ketika dulu adalah dengan perjuangan suci yang di jalankan oleh syabab muslim. Semoga sejarah kegemilangan Islam yang pernah diabadikan dengan tinta emas ini menjadi aspirasi kepada seluruh pemuda Islam untuk menyusuri jejak langkah mereka yang pernah menempa sejarah kegemilangan Islam. Syabab muslimlah yang menjadi sasaran utama untuk memikul amanah berat yang maha suci ini sesuai dengan kekuatan fizikal dan sifat kepahlawanan yang mereka miliki. Untuk menimbulkan kesedaran dan memberi kefahaman yang syumul, tarbiyyah merupakan tunggak utama sebagai pengisian dan persiapan diri untuk menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang jalan dakwah. Kerja- kerja dakwah yang dijalankan tanpa melalui proses tarbiyyah akan melahirkan pendakwah yang pincang dan mudah goyah pendirian.

Tarbiyyah juga merupakan asas untuk menyediakan syabab muslim yang seimbang dan melengkapi segenap aspek serta merancang modul operandi dakwah yang sistematik sebelum berhadapan dengan masyarakat yang beraneka ragam. Ia perlulah bersifat menyeluruh meliputi jasmaniah dan rohaniah sebagai langkah melahirkan kader-kader yang bertaqwa dan ikhlas dalam perjuangan mereka. Semata-mata untuk mencari keredaan Allah.

Melatih diri dengan menjauhi segala yang bercanggah dengan kehendak agama, memahami hukum dan batasnya. Perkara yang paling asas ialah syabab perlulah membersihkan diri dan menyucikannya dengan siraman zikrullah dan dihiasi dengan taqwa.

Untuk menyediakan santapan hati dan jiwanya dengan santapan yang sempurna, pemuda Islam perlulah memiliki sifat rabbani dan ia tidak akan mampu diwujudkan meski pun setinggi mana ilmu dan thaqafah mereka jika tidak diasaskan di atas taqwa kepada Allah. Firman Allah bermaksud
Hai orang orang yang beriman (di antara ahli kitab) takutlah kepada Allah dan berimanlah dengan rasulNya (Muhammad) nanti dia memberikan kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan mengadakan untukmu cahaya, sehingga dapat kamu berjalan padaNya, dan Dia mengampunimu, dan Allah Pengampun lagi Penyayang.

Taqwa menurut D. Abdullah Nasih Ulwan iaitu natijah atau buah yang lahir dari rasa keimanan yang mendalam di samping merasakan diri sentiasa di bawah perhatian Allah dan takutkan kemurkaanNya serta sentiasa mengharapkan keampunan Allah dan keredhaanNya.

Untuk melahirkan generasi yang bertakwa, di sini digariskan beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan untuk mencapai hakikat tersebut. Iqrar, sumpah setia dan menyatakan wala’ hanya semata-mata kepada Allah sepertimana bacaan yang sering kita ulangi di dalam sembahyang lima waktu

Muraqabah

Hadis nabi telah menjelaskan maksud muraqabah iaitu merasakan diri sentiasa berada di bawah kawalan Allah sama ada ketika sembunyi mahupun terang terangan.
Firman Allah yang bermaksud
Dia yang melihat kamu ketika berdiri (sembahyang) Dan ketika engkau bolak balik, dalam orang orang yang sujud(sembahyang).

Muhasabah

Sentiasa menilik semula amal pekerjaan yang telah dilakukan , adakah bertepatan sepertimana yang dikehendaki oleh syara’ ataupun sebaliknya. Firman Allah bermaksud
Hai orang orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang diusahakannya untuk besok (hari kiamat) dan takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa apa yang kamu kerjakan.

Mua’qabah

Menghukum diri sendiri dengan hukuman yang diharuskan oleh syara’ bertujuan agar tidak berulang kesilapan yang serupa Firman Allah bermaksud
Kamu mendapat hidup dengan peraturan qisas itu, hai orang orang yang beraqal, Mudah-mudahan kamu bertaqwa.

Mujahadah

Sesungguhnya orang beriman jika mendapati dirinya malas dan berat untuk melakukan amal kebajikan dan ketaatan kepada Allah maka hendaklah bermujahadah agar terbiasa dengan melakukan perintah Allah.
Firman Allah yang memberi maksud
Orang orang yang berjuang (dalam menunaikan hak kami) nescaya kami tunjuki mereka ke jalan Kami . Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat kebaikan.

Bersambung..

Oleh Mohd Nizam Ali

 

0 comments so far.

Something to say?